Film Review
Amélie (2001) @ “ Le fabuleux destin d'Amélie
Poulain ” (tajuk sebenar) oleh Anis Nabilah Abu Khidir
AMELIE merupakan sebuah filem fantasi moden yang menerapkan unsur
pencintaan dan komedi yang telah diarahkan oleh seorang pengarah Perancis
terkenal iaitu Jean-Pierre Jeunet.
Watak Amelie dilakonkan oleh seorang pelakon wanita berbangsa Perancis yang
terkenal dengan senyumannya yang nakal yang mampu memikat hati ramai penonton iaitu
Audrey Tautou.
Amelie merupakan seorang yang
pendiam dan pemalu kerana kedua ibu bapanya tidak membenarkan dia bergaul
dengan rakan-rakan sebayanya. Bapa Amelie merupakan bekas doctor yang
berkhidmat untuk tentera Perancis, manakala ibunya pula merupakan seorang guru.
Apa yang lucunya ialah kedua ibu bapa Amelie mempunyai minat yang sama di mana
mereka gemar mengosongkan beg yang berisi barang-barang, membersihkannya dan
seterusnya memasukkan semula barang-barang ke dalam beg tersebut. Kemudian,
Amelie terpaksa berhadapan dengan satu kejadian yang tragis di mana dia
kehilangan ibunya buat selama-lamanya. Kematian ibunya adalah akibat dihempap
oleh seorang manusia yang pada waktu itu cuba membunuh diri dengan terjun
daripada atas bumbung gereja. Akhirnya, Amelie dibesarkan oleh ayahnya
sendirian.
Setelah meningkat dewasa, Amelie
Poulain yang merupakan seorang gadis naïf telah bekerja sebagai seorang pelayan
di Montmartre café yang terletak di tengah bandaraya kota Paris dan menetap
sendirian di sebuah apartmen. Di apartmennya, Amelie telah terjumpa akan sebuah
kotak peninggalan sejak zaman 50-an lagi. Setelah mengamati isi di dalam kotak
tersebut, Amelie nekad untuk memulangkan semula kotak tersebut kepada pemilik
sebenar. Amelie merasakan satu kepuasan yang teramat sangat apabila dia berjaya
memulangkan semula kotak tersebut walaupun si pemilik itu tidak tahu siapakah
yang sebenarnya telah memulangkan kotak itu. Dari saat itu, Amelie berazam
untuk membuatkan setiap insan di sekelilingnya gembira tetapi secara tidak
sengaja dia terlupa akan kebahagiaan diri dia sendiri.
Pelbagai
rencana yang dilakukan Amelie untuk membahagiakan orang-orang disekelilingnya:
1. Dia meminta rakannya untuk membawa
patung gnome yang diambil dari ayahnya berjalan-jalan ke merata tempat dan mengambil
gambar patung itu di setiap tempat pelancongan yang di tuju. Gambar-gambar itu
seterusnya dihantar kepada ayah Amelie. Amelie melakukan sedemikian supaya
ayahnya keluar bercuti dan melupakan segala kisah silam yang pahit kerana
semenjak kematian ibu Amelie, ayahnya seakan-akan hilang semangat untuk
meneruskan kehidupan dan asyik duduk di menghabiskan masa di rumah bersama-sama
patung gnome.
2. Amelie turut melakukan satu taktik
nakal untuk menyatukan rakan sekerjanya yang kesunyian dengan seorang pelanggan
tetap kafe Amelie bekerja yang tertekan dan masih sibuk mengejar-ngejar bekas
kekasihnya.
3. Amelie menghiburkan seorang jirannya
yang tertekan kerana kehilangan suami dan wanita tersebut merasakan yang
suaminya tidak mencintainya. Amelie telah menulis beberapa surat yang kononnya
ditulis oleh suami jirannya itu dengan menyatakan bahawa dia amat mencintai
isterinya. Amelie melakukan sedemikian supaya jirannya itu mempunyai semangat
untuk hidup kerana dia merasakan bahawa semua manusia berhak untuk bahagia.
Satu
hari, Amelie sedar bahawa dia juga perlu kecapi kebahagiaan dia sendiri. Dia
telah jatuh cinta pandang pertama pada seorang lelaki yang suka mengumpul
gambar-gambar dari sebuah mesin gambar yang terletak di stesen keretapi. Lelaki
itu bernama Nino Quincampoix. Pelbagai cara
yang unik dilakukan oleh Amelie untuk membuatkan Nino tahu akan kewujudan
dirinya. Amelie juga turut mengambil gambarnya sendiri bagi memperkenalkan
dirinya dengan menggunakan mesin gambar kegemaran Nino. Akan tetapi, Amelie
telah mamakai ala-ala Zorro semasa
mengambil gambar kerana dia tiada keberanian untuk berhadapan dengan Nino.
Namun, di akhir cerita ini mereka telah jatuh cinta dan bersatu sebagai
pasangan bahagia kerana usaha Nino yang tidak pernah putus untuk mengetahui
siapa Amelie sebenarnya.
Di
awal penceritaan filem Amelie, pengarah sangat kreatif kerana menggunakan teknik watak tanpa suara bagi
memperkenalkan kepada penonton serba-sedikit mengenai kehidupan watak utama filem
ini iaitu Amelie. Setiap watak yang terlibat hanya perlu melakonkan sahaja setiap
babak mengikut apa yang disampaikan oleh pencerita. Pada saya, teknik watak
tanpa suara ini berjaya diterapkan oleh pengarah kerana saya berjaya untuk
menghayati dan memahami setiap pergerakan yang dilakukan oleh para pelakon. Penyampaian
pencerita juga “kena” dan sesuai dengan jalan cerita yang dilakonkan oleh para
pelakon. Teknik ini berjaya menarik perhatian saya kerana intonasi dan nada
suara pencerita yang digunakan sangat sesuai dengan jalan cerita yang ingin
disampaikan dan membuatkan saya merasa sangat relax menontonnya.
Setiap
sudut gambar yang dirakamkan sangat menarik dan tidaklah merimaskan atau
mengganggu perhatian saya semasa menonton. Keseluruhan babak dirakamkan
menggunakan warna pastel yang terang dan halus yang menampakkan keunikan cerita
ini. Susunan perabot juga tidak serabut dan jalan cerita filem ini sangatlah
menarik dan tidak bercelaru. Ianya disusun secara sempurna kerana ianya saling
berkaitan. Adakalanya sesetengah jalan cerita Amelie ini pada awalnya seperti
sukar diagak dan membuatkan kita tertanya-tanya dan tertunggu-tunggu apa yang
akan berlaku kemudian. Tetapi ia sebenarnya amatlah berbaloi kerana
penyelesaiannya sangatlah menarik dan mencuit hati. Dengan cara ini menunjukkan
bahawa penonton sebenarnya memberikan sepenuh perhatian mereka dan mereka sememangnya
tertarik untuk mengetahui apa akan jadi seterusnya. Watak Amelie sebenarnya
telah berjaya membuatkan saya merasa bahawa saya turut berada di dalam cerita
tersebut. Walaupun ada terselit unsur-unsur berbaur seks dalam filem ini, tetapi ianya tidak sedikit pun mengganggu perhatian saya kerana tujuan utama saya menonton filem ini kerana jalan cerita dan pelakon utamanya yang menarik dan unik. Bagi saya, unsur-unsur sedemikian bukannya perkara asing bagi filem-filem antarabangsa kerana kita sedia maklum akan budaya mereka yang terang-terang memang berlawanan dengan budaya negara kita dan unsur-unsur ini diselitkan bagi melariskan lagi jualan atau rating filem mereka di pasaran antarabangsa.
Pada
pendapat saya, filem ini wajib ditonton kerana ianya memberikan banyak
pengajaran yang berguna kepada kita. Walaupun kebanyakan babak dalam cerita ini
sebenarnya seakan-akan fantasi, tetapi mungkin ianya boleh menjadi realiti jika
kita memiliki usaha yang kuat dan niat yang betul. Melalui filem Amelie, ianya
mengajar kita bahawa keikhlasan hati amat penting dalam diri seseorang itu. Dalam
kehidupan bermasyarakat terutamanya perlu mempunyai perasaan yang ikhlas dalam
setiap perkara yang dilakukan. Hal ini bukan sahaja membahagiakan orang lain
bahkan turut memberi kepuasan kepada diri sendiri. Niat dan hati yang murni
membuatkan kita dapat menjalani kehidupan dengan sempurna. Filem ini membantu
penonton meneroka kepada perkara-perkara remeh yang sering berlaku dalam
kehidupan. Tetapi akhirnya menyedarkan kita bahawa kehidupan kita ini
sebenarnya mudah dan kita perlu mahir dan sentiasa positif dalam menguruskan
kehidupan kita. Kita cuma perlukan perkara yang mudah untuk memastikan kita
sentiasa gembira dan bahagia serta jangan mudah mengalah atau berputus asa.
No comments:
Post a Comment