AMELIE merupakan sebuah filem Perancis arahan direktor yang terkemuka iaitu, Jean-Pierre Jeunet dan skrip
ditulis oleh Guillaume Laurant yang mana filem ini berkait dengan kisah cinta
seorang gadis dan tidak lupa diselitkan dengan jenaka yang menghiburkan melalui
watak karakter Amelie. Filem ini mengisahkan kisah seorang perempuan yang
pemalu dan penuh dengan fantasi dalam kehidupannya tetapi mempunyai akal
panjang yang membuatkan dia berbeza dengan yang lain. Kehidupannya penuh dengan
imaginasinya sendiri sejak kecil lagi.
Bapa Amelie merupakan seorang mantan doktor tentera
Perancis manakala ibunya merupakan seorang guru. Kedua ibubapa Amelie mempunyai
minat yang sama dimana mereka suka mengosongkan beg kemudian membersihkan beg
itu lalu menyusun semula barang didalam beg tersebut dengan kemas. Amelie membesar bersama ayahnya sejak kematian
ibunya yang meninggal selepas keluar dari gereja akibat terdapat seseorang yang
bunuh diri dari atas bangunan gereja tersebut.
Bermulalah kehidupan Amelie sebagai seorang pelayan
disebuah kafe Montmartre di ‘Corner
Bistro’ yang terletak di tengah bandaraya Paris. Amelie tinggal
berseorangan di sebuah apartmen dan disitu, dia telah menjumpai sebuah kotak khazanah
kepunyaan penyewa yang pernah menetap di apartmennya dahulu. Oleh itu, Amelie
bernekad untuk memulangkan semula kotak khazanah tersebut kepada empunya badan.
Hasil daripada pemulangan kotak tersebut, Amelie memutuskan bahawa dia ingin
membuat orang yang berada disekelilingnya gembira. Baginya, setiap orang berhak
memiliki kebahagiaan dalam kehidupan.
Pelbagai misi dan rencana yang Amelie lakukan untuk
melihat insan lain berbahagia. Salah satunya adalah dengan menyatukan seorang
pelanggan yang sering hadir di kafenya dengan rakanya yang sama-sama bekerja di
kafe tersebut. Selain itu, dia juga telah menulis surat kepada jirannya yang
mengatakan bahawa suaminya masih lagi menunggu dan menyayanginya. Bahkan,
Amelie juga telah mengambil patung binaan ayahnya di Taman Gnome dengan cara
mengambil gambar patung tersebut seperti keluar berjalan-jalan untuk
menghiburkan hati. Ini adalah salah satu cara yang mana Amelie ingin manarik
ayahnya untuk keluar berjalan daripada hanya duduk terperuk di rumah sahaja.
Perkara ini berlaku selepas kematian ibunya, dimana ayahnya tidak lagi keluar
rumah dan hanya menghabiskan masa dengan mengukir patung di Taman Gnomenya
tersebut.
Dalam masa yang sama, Amelie tertarik pada seorang
lelaki yang bernama Nino Quincampoix dan telah jatuh cinta kepadanya. Nino
mempunyai kegemaran mengumpul gambar dari stesen keretapi dan Amelie sering
kali mengintipnya. Akan tetapi, Amelie tidak mempunyai keberanian untuk
meluahkan perasaan tersebut dan dia hanya menyamar dirinya sebagai ‘Zorro’
dengan mengambil gambarnya di stesen keretapi agar dia tidak dikenali oleh
Nino. Namun akhirnya mereka bersatu atas
usaha Nino yang tidak pernah jemu untuk mencari siapakah pemilik gambar ‘Zorro’
tersebut. Amelie bahagia bersama cinta hatinya, bahkan dia juga telah berjaya
membuatkan ayahnya untuk keluar dari rumah dan travel di merata tempat.
Pada permulaan filem ini ditayangkan, saya kurang mengerti apa yang ingin
disampaikan oleh pengarah Jean-Pierre Jeunet. Hal ini kerana mungkin watak
Amelie yang dilakonkan oleh Audrey Tautou sangat berbeza daripada filem lain
yang pernah saya tontoni. Cerita yang penuh dengan imaginasi dan khayalan ini
mampu membuatkan saya teruja untuk menyaksikan kesudahannya. Walaupun
adakalanya scene dalam filem ini kurang menyenangkan namun, di sebalik itu
terdapat sesuatu yang ingin pengarah sampaikan kepada penonton. Pada pendapat
saya, Amelie merupakan seorang gadis biasa namun mempunyai pemikiran yang unik
dari orang lain.
Apa yang kita fikirkan yang kita rasa kita tidak mampu untuk
lakukan namun Amelie berjaya melakukan dengan niat yang ikhlas untuk membantu
membahagiakan orang di sekelilingnya. Ianya bukan mudah seperti yang disangka
kerana kebahagiaan bukan hanya terletak pada sesebuah kekeluargaan tetapi juga
terletak pada nilai hati budi yang sentiasa menginginkan kebahagiaan buat insan
lain. Inilah perkara yang sepatutnya ditanam dalam setiap diri individu. Hal
ini kerana, kebanyakkan manusia hari ini lebih mementingkan kesenangan untuk
dirinya sendiri sahaja tanpa memikirkan orang lain. Melalui filem ini, ia
membuatkan saya tertarik untuk lebih terbuka dalam membantu sesiapa sahaja
walaupun kita tidak kenal rapat dengan insan tersebut.
Keikhlasan seseorang sukar untuk dikenalpasti
tetapi ia akan terlahir melalui perbuatan zahirnya. Melalui penceritaan filem
ini, tiada siapa tahu apa yang dilakukan oleh Amelie demi membantu
rakan-rakannya secara diam. Perkara inilah yang patut kita terapkan dimana
seperti kata pepatah tangan kanan memberi, tangan kiri pun tidak mengetahui
akan pemberian tersebut. Secara keseluruhannya filem romantik komedi ini sangat
menarik untuk tontoni dan membuatkan saya terhibur melalui kisah dongeng ini
yang mana akhirnya Amelie berjaya mendapatkan cinta sejatinya dan memperbaiki
kehidupannya kearah yang lebih baik. Tiada yang mustahil dalam dunia ini untuk
melakukan perkara yang kita rasakan betul asalkan ia berlandaskan tujuan dan
niat yang murni.
No comments:
Post a Comment