DIULAS OLEH : ANNUR AZIZAH BINTI ISMAIL
TAHUN/PROGRAM : 1 SHAC
Sinopsis Filem Perancis 'Amelie'
Amelie Poulain adalah anak tunggal di dalam keluarganya. Dia telah
dibesarkan oleh ibu dan bapanya yang mempercayai dirinya mempunyai kerosakan
pada jantung. Oleh itu, Amelie tidak dibenarkan
bersekolah dan bergaul dengan kanak-kanak yang seusia dengannya
sehinggalah dia meningkat remaja. Dia hanya diajar oleh ibunya di rumah. Ibunya
telah meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi akibat suatu kejadian yang
tidak diingini. Apabila dia sudah meningkat dewasa, Amelie telah bekerja di
sebuah kafe yang bernama Cafe des 2 Moulins di Montmatre. Pada 31 Ogos 1997,
Amelie telah dikejutkan oleh berita tentang kematian Puteri Diana, isteri
kepada Putera Charles, dalam suatu kemalangan yang ngeri bersama lelaki yang
dikatakan kekasihnya. Kejutan yang Amelie terima ketika itu menyebabkan dia
telah menjatuhkan bebola gelas sehingga bebola tersebut mengetuk mozek di
dinding bilik airnya yang longgar menyebabkan ia menunjukkan satu ruang yang
menempatkan kotak yang menyimpan memori seorang lelaki yang pernah tinggal di
kediamannya sebelum Amelie berpindah ke situ. Di sini, bermulalah kehidupan
Amelie yang ingin membahagiakan dan membantu orang lain yang berada di
sekitarnya. Amelie telah disedarkan oleh Encik Dufayel yang sentiasa berbual
dengan Amelie mengenai lukisannya yang sama dan ia sudah dilukis secara berulang-ulang
selama 20 tahun tetapi Encik Dufayel tidak dapat mengecam adakah ia gambar
seorang wanita yang sedang meminum air. Mereka berdua berbincang mengenai
gambar tersebut dan Encik Dufayel telah dapat mengesan bahawa Amelie telah
mengambarkan kesepiannya ke dalam gambar wanita yang sedang meminum air yang dilukis
oleh Encik Dufayel. Lantas, Encik Dufayel telah memberi dorongan kepada Amelie
untuk mencari kebahagiaan bagi mengatasi rasa kesepian tersebut dengan menyuruh
Amelie mencari lelaki yang boleh dikatakan pelik. Lelaki tersebut bernama Nino
Quincampoix. Dia gemar mengumpul gambar terbuang, milik orang yang tidak
dikenali yang telah dibuang di tong sampah berhampiran dengan gerai gambar
pasport. Amelie tidak mempunyai keberanian untuk meluahkan perasaannya kepada
Nino hingga dia telah tersalah sangka dengan rakan sekerjanya yang keluar
dengan Nino. Rakan sekerjanya itu sebenarnya membuat temujanji untuk berjumpa
dengan Nino kerana ingin membantu Amelie untuk memberitahu Nino bahawa Amelie
sebenarnya mencintai Nino tetapi dia malu untuk meluahkan isi hatinya.
Akhirnya, selepas insiden tersebut, Amelie termakan juga dengan pujukan Encik
Dufayel yang menyuruhnya untuk memberanikan diri bagi mendekati Nino agar Nino
tidak terlepas ke tangan wanita lain.
Ulasan Mengenai Filem Ini :
Filem Amelie ini
mempunyai unsur-unsur yang unik dari segi penceritaannya. Jalan ceritanya amat
berbeza dengan filem-filem negara lain terutamanya filem Malaysia,bahkan ia
sangat jauh berbeza. Garapan cerita ini, pada pendapat saya, amat menepati apa
yang dipanggil sebagai 'linear story-telling'. 'Linear story-telling' bermaksud
sesebuah filem itu mempunyai jalan cerita yang agak lancar di mana pada
permulaan cerita ini, pengarah telah menerangkan watak utama bagi filem ini,
iaitu mengenai kehidupan Amelie dan keluarganya. Ia diterangkan dengan begitu
terperinci bagi setiap watak. Peringkat awal ini dikenali dengan 'act one'.
Seterusnya, di peringkat pertengahan, iaitu 'act two', pengarah telah
mengembangkan konflik yang berlaku di dalam cerita ini, mengenai kesungguhan
Amelie yang ingin membantu dan membahagiakan orang yang berada di sekelilingnya
sehingga dia terlupa bahawa dirinya juga memerlukan kebahagiaan kerana selama ini dia telah membesar tanpa
kasih-sayang yang cukup daripada kedua orang tuanya. Dirinya sendiri amat
kesepian sehingga dia kerap berimaginasi perkara-perkara yang tidak sepatutnya
seperti berapa orang yang sedang mencapai orgasma pada waktu yang sama. Amelie
dapat menyelesaikan konflik yang berlaku di sekitarnya, contohnya dengan
membantu Raymond Bretodeau bertemu
dengan anak dan cucunya yang tidak pernah dia temui melalui pemulangan kotak
memori yang Amelie jumpai di dalam bilik airnya. Dia juga membantu Lucien,
pembantu kedai di kedai runcit milik Encik Collignon yang sering dibuli oleh
tuannya yang sombong dengan memasang perangkap hingga Encik Collignon menjadi
orang yang tidak sombong dan bongkak lagi. Amelie boleh menyelesaiakan masalah
orang lain tetapi masalah yang dihadapi oleh dirinya, iaitu kesepian masih
belum dapat dirungkai. Amelie telah jatuh cinta dengan Nino tetapi dia sangat
malu untuk meluahkan rasa hatinya kepada lelaki itu walaupun sudah berulang
kali dia mempunyai peluang. Ini adalah konflik di dalam cerita ini, bagaimana
Amelie ingin mencapai kebahagiaan dalam hidupnya melalui percintaan yang ingin
dia miliki dengan Nino. 'Act Three' pula merupakan babak penyelesaian atau
keseimpulan bagi sesebuah jalan cerita. Pengarah telah menunjukkan bahawa
Amelie dapat meraih cinta Nino setelah dia termakan pujukan dan dorongan Encik
Dufayel, yang menyuruhnya memberanikan diri dengan mengaku kepada Nino yang dia
sememangnya mencintai Nino dan dialah peminat misteri Nino.
Walaupun filem
ini mempunyai unsur 'linear story-telling' tetapi penceritaannya dari satu
babak ke babak yang lain sangat mengelirukan. Sebagai penonton, saya tidak
dapat memahami apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh pengarah melalui
pertukaran babak yang sangat drastik perubahannya. Contohnya, dari babak Amelie
mencuri patung 'Garden Gnome' milik bapanya terus ke babak lain yang tiada kaitan dengan mengapa Amelie berbuat
demikian. Pencerita (narrator) bagi filem ini juga melontarkan dialognya dengan
pantas sehingga penonton yang tidak menguasai bahasa Perancis menjadi
terpinga-pinga untuk memahami apa yang diperkatakan di dalam dialog tersebut.
Sekiranya filem itu disediakan sari kata, penonton tidak dapat membacanya
kerana ia terlalu laju bertukar seiring dengan lontaran dialog oleh pencerita.
Penonton juga mudah hilang fokus untuk menghayati jalan cerita sebenar kerana
perlu melihat dan memerhatikan sari kata supaya mereka dapat memahami dialog
yang ingin disampaikan.
Selain itu,
cerita ini amat banyak mengandungi unsur-unsur seks yang melampau. Sememangnya,
orang Perancis telah menganggap bahawa seks di dalam filem dianggap seperti
suatu norma dan kebiasaan pada mereka tetapi tidak di negara lain terutamanya
negara-negara Islam. Unsur seks ini amat kurang disenangi bagi mereka yang
beragama Islam kerana mereka harus menjaga pandangan mereka daripada menonton,
mendengar, melakukan perkara-perkara yang dihalang oleh syara' contohnya
perlakuan seks atau pornografi. Cerita ini amat banyak menunjukkan hubungan
seks secara terang-terangan. Adakah perlu melambangkan cinta dengan perlakuan
seks? Seks tidak boleh disinonimkan dengan cinta. Cinta mempunyai banyak
perspektif,contohnya kepada keluarga dan negara. Cinta juga merupakan suatu perasaan
yang indah tetapi ia tidak seharusnya diakhiri atau dimulakan dengan seks.
Walaupun manusia sering berimaginasi, tidak semestinya mereka perlu
membayangkan tentang seks dan bagaimana ia dilakukan seperti yang dilakukan
oleh watak Amelie. Watak ini boleh sahaja untuk berimaginasi mengenai perkara
yang hebat seperti bagaimana menjadi wanita pertama negara atau membina istana
untuk dirinya sendiri tetapi mengapa dia harus membayangkan berapa ramai orang
yang mencapai orgasma secara serentak? Ini sangat tidak produktif bagi mereka
yang hanya memikirkan seks untuk memajukan diri mereka. Penonton juga boleh
merasakan yang akan ada perlakuan seks dari lakonan yang disampaikan contohnya
yang berlaku antara rakan sekerja Amelie dengan lelaki yang telah lama
diminatinya.
Cerita ini juga
memberi nilai pengajaran yang penting kepada kita bahawa institusi kekeluargaan
sangat penting dalam kehidupan seharian kita. Ibu bapa perlu menjaga dan mendidik
anak-anak mereka sebaik mungkin walaupun mereka sibuk dengan tugasan harian.
Ibu bapa juga tidak boleh berpandangan negatif terhadap anak dan sekiranya anak
mereka mempunyai apa-apa masalah terutamanya masalah kesihatan, mereka perlu
berjumpa dengan doktor pakar. Walaupun ayah Amelie seorang doktor, dia tidak
mengetahui sebenarnya Amelie tidak mempunyai sebarang sakit jantung cuma
jantungnya berdegup tidak normal akibat rasa gemuruh. Perkara ini merupakan
penyebab kepada kurangnya komunikasi antara Amelie dengan dunia luar yang
mengakibatkannya sering berimaginasi perkara yang tidak sepatutnya. Tetapi
imaginasinya boleh digunakan untuk menghasilkan sesuatu yang tidak terjangkau
oleh pemikiran orang lain seperti yang Amelie lakukan untuk membalas serta
menyedarkan perbuatan tidak baik dan sombong Encik Collignon terhadap Lucien.
Imaginasi menjadi sesuatu yang hebat sekiranya digunakan untuk perkara yang
baik dan betul bukan untuk memusnahkan orang lain.
Filem ini juga
memulakan penceritaannya dengan hanya menggunakan visual tanpa suara selama
beberapa minit yang dapat menggambarkan jalan cerita filem ini. Visual di
permulaan filem ini sangat bagus kerana ia menunjukkan manusia ini boleh
berfikir dan membuat sesuatu yang biasa dengan cara yang berbeza dan tidak
terjangkau oleh akal pemikiran yang biasa. Ini simbolik kepada watak utama,
iaitu Amelie yang gemar berimaginasi dan menjadikan imaginasi itu sesuatu benda
yang boleh dicapai sekiranya kita mempunyai kesungguhan untuk melaksanakannya.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment