Monday 15 April 2013


Film Review

Amélie (2001) @ “ Le fabuleux destin d'Amélie Poulain ” (tajuk sebenar) oleh Anis Nabilah Abu Khidir




AMELIE merupakan sebuah filem fantasi moden yang menerapkan unsur pencintaan dan komedi yang telah diarahkan oleh seorang pengarah Perancis terkenal iaitu Jean-Pierre Jeunet. Watak Amelie dilakonkan oleh seorang pelakon wanita berbangsa Perancis yang terkenal dengan senyumannya yang nakal yang mampu memikat hati ramai penonton iaitu Audrey Tautou.

            Amelie merupakan seorang yang pendiam dan pemalu kerana kedua ibu bapanya tidak membenarkan dia bergaul dengan rakan-rakan sebayanya. Bapa Amelie merupakan bekas doctor yang berkhidmat untuk tentera Perancis, manakala ibunya pula merupakan seorang guru. Apa yang lucunya ialah kedua ibu bapa Amelie mempunyai minat yang sama di mana mereka gemar mengosongkan beg yang berisi barang-barang, membersihkannya dan seterusnya memasukkan semula barang-barang ke dalam beg tersebut. Kemudian, Amelie terpaksa berhadapan dengan satu kejadian yang tragis di mana dia kehilangan ibunya buat selama-lamanya. Kematian ibunya adalah akibat dihempap oleh seorang manusia yang pada waktu itu cuba membunuh diri dengan terjun daripada atas bumbung gereja. Akhirnya, Amelie dibesarkan oleh ayahnya sendirian.

            Setelah meningkat dewasa, Amelie Poulain yang merupakan seorang gadis naïf telah bekerja sebagai seorang pelayan di Montmartre café yang terletak di tengah bandaraya kota Paris dan menetap sendirian di sebuah apartmen. Di apartmennya, Amelie telah terjumpa akan sebuah kotak peninggalan sejak zaman 50-an lagi. Setelah mengamati isi di dalam kotak tersebut, Amelie nekad untuk memulangkan semula kotak tersebut kepada pemilik sebenar. Amelie merasakan satu kepuasan yang teramat sangat apabila dia berjaya memulangkan semula kotak tersebut walaupun si pemilik itu tidak tahu siapakah yang sebenarnya telah memulangkan kotak itu. Dari saat itu, Amelie berazam untuk membuatkan setiap insan di sekelilingnya gembira tetapi secara tidak sengaja dia terlupa akan kebahagiaan diri dia sendiri.

                                       


            Pelbagai rencana yang dilakukan Amelie untuk membahagiakan orang-orang disekelilingnya:
1.      Dia meminta rakannya untuk membawa patung gnome yang diambil dari ayahnya berjalan-jalan ke merata tempat dan mengambil gambar patung itu di setiap tempat pelancongan yang di tuju. Gambar-gambar itu seterusnya dihantar kepada ayah Amelie. Amelie melakukan sedemikian supaya ayahnya keluar bercuti dan melupakan segala kisah silam yang pahit kerana semenjak kematian ibu Amelie, ayahnya seakan-akan hilang semangat untuk meneruskan kehidupan dan asyik duduk di menghabiskan masa di rumah bersama-sama patung gnome.
2.      Amelie turut melakukan satu taktik nakal untuk menyatukan rakan sekerjanya yang kesunyian dengan seorang pelanggan tetap kafe Amelie bekerja yang tertekan dan masih sibuk mengejar-ngejar bekas kekasihnya.
3.      Amelie menghiburkan seorang jirannya yang tertekan kerana kehilangan suami dan wanita tersebut merasakan yang suaminya tidak mencintainya. Amelie telah menulis beberapa surat yang kononnya ditulis oleh suami jirannya itu dengan menyatakan bahawa dia amat mencintai isterinya. Amelie melakukan sedemikian supaya jirannya itu mempunyai semangat untuk hidup kerana dia merasakan bahawa semua manusia berhak untuk bahagia.
           
            Satu hari, Amelie sedar bahawa dia juga perlu kecapi kebahagiaan dia sendiri. Dia telah jatuh cinta pandang pertama pada seorang lelaki yang suka mengumpul gambar-gambar dari sebuah mesin gambar yang terletak di stesen keretapi. Lelaki itu bernama Nino Quincampoix. Pelbagai cara yang unik dilakukan oleh Amelie untuk membuatkan Nino tahu akan kewujudan dirinya. Amelie juga turut mengambil gambarnya sendiri bagi memperkenalkan dirinya dengan menggunakan mesin gambar kegemaran Nino. Akan tetapi, Amelie telah mamakai ala-ala Zorro semasa mengambil gambar kerana dia tiada keberanian untuk berhadapan dengan Nino. Namun, di akhir cerita ini mereka telah jatuh cinta dan bersatu sebagai pasangan bahagia kerana usaha Nino yang tidak pernah putus untuk mengetahui siapa Amelie sebenarnya.  

                                   


            Di awal penceritaan filem Amelie, pengarah sangat kreatif kerana menggunakan teknik watak tanpa suara bagi memperkenalkan kepada penonton serba-sedikit mengenai kehidupan watak utama filem ini iaitu Amelie. Setiap watak yang terlibat hanya perlu melakonkan sahaja setiap babak mengikut apa yang disampaikan oleh pencerita. Pada saya, teknik watak tanpa suara ini berjaya diterapkan oleh pengarah kerana saya berjaya untuk menghayati dan memahami setiap pergerakan yang dilakukan oleh para pelakon. Penyampaian pencerita juga “kena” dan sesuai dengan jalan cerita yang dilakonkan oleh para pelakon. Teknik ini berjaya menarik perhatian saya kerana intonasi dan nada suara pencerita yang digunakan sangat sesuai dengan jalan cerita yang ingin disampaikan dan membuatkan saya merasa sangat relax menontonnya.
               
            Setiap sudut gambar yang dirakamkan sangat menarik dan tidaklah merimaskan atau mengganggu perhatian saya semasa menonton. Keseluruhan babak dirakamkan menggunakan warna pastel yang terang dan halus yang menampakkan keunikan cerita ini. Susunan perabot juga tidak serabut dan jalan cerita filem ini sangatlah menarik dan tidak bercelaru. Ianya disusun secara sempurna kerana ianya saling berkaitan. Adakalanya sesetengah jalan cerita Amelie ini pada awalnya seperti sukar diagak dan membuatkan kita tertanya-tanya dan tertunggu-tunggu apa yang akan berlaku kemudian. Tetapi ia sebenarnya amatlah berbaloi kerana penyelesaiannya sangatlah menarik dan mencuit hati. Dengan cara ini menunjukkan bahawa penonton sebenarnya memberikan sepenuh perhatian mereka dan mereka sememangnya tertarik untuk mengetahui apa akan jadi seterusnya. Watak Amelie sebenarnya telah berjaya membuatkan saya merasa bahawa saya turut berada di dalam cerita tersebut. Walaupun ada terselit unsur-unsur berbaur seks dalam filem ini, tetapi ianya tidak sedikit pun mengganggu perhatian saya kerana tujuan utama saya menonton filem ini kerana jalan cerita dan pelakon utamanya yang menarik dan unik. Bagi saya, unsur-unsur sedemikian bukannya perkara asing bagi filem-filem antarabangsa kerana kita sedia maklum akan budaya mereka yang terang-terang memang berlawanan dengan budaya negara kita dan unsur-unsur ini diselitkan bagi melariskan lagi jualan atau rating filem mereka di pasaran antarabangsa. 

            Pada pendapat saya, filem ini wajib ditonton kerana ianya memberikan banyak pengajaran yang berguna kepada kita. Walaupun kebanyakan babak dalam cerita ini sebenarnya seakan-akan fantasi, tetapi mungkin ianya boleh menjadi realiti jika kita memiliki usaha yang kuat dan niat yang betul. Melalui filem Amelie, ianya mengajar kita bahawa keikhlasan hati amat penting dalam diri seseorang itu. Dalam kehidupan bermasyarakat terutamanya perlu mempunyai perasaan yang ikhlas dalam setiap perkara yang dilakukan. Hal ini bukan sahaja membahagiakan orang lain bahkan turut memberi kepuasan kepada diri sendiri. Niat dan hati yang murni membuatkan kita dapat menjalani kehidupan dengan sempurna. Filem ini membantu penonton meneroka kepada perkara-perkara remeh yang sering berlaku dalam kehidupan. Tetapi akhirnya menyedarkan kita bahawa kehidupan kita ini sebenarnya mudah dan kita perlu mahir dan sentiasa positif dalam menguruskan kehidupan kita. Kita cuma perlukan perkara yang mudah untuk memastikan kita sentiasa gembira dan bahagia serta jangan mudah mengalah atau berputus asa.   

No comments:

Post a Comment