Monday 15 April 2013

Amelie ( Le Fabuleux Destin d'Amélie Poulain )



DIULAS OLEH : ANNUR AZIZAH BINTI ISMAIL
TAHUN/PROGRAM : 1 SHAC

Sinopsis Filem Perancis 'Amelie'

  Amelie Poulain adalah anak tunggal di dalam keluarganya. Dia telah dibesarkan oleh ibu dan bapanya yang mempercayai dirinya mempunyai kerosakan pada jantung. Oleh itu, Amelie tidak dibenarkan  bersekolah dan bergaul dengan kanak-kanak yang seusia dengannya sehinggalah dia meningkat remaja. Dia hanya diajar oleh ibunya di rumah. Ibunya telah meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi akibat suatu kejadian yang tidak diingini. Apabila dia sudah meningkat dewasa, Amelie telah bekerja di sebuah kafe yang bernama Cafe des 2 Moulins di Montmatre. Pada 31 Ogos 1997, Amelie telah dikejutkan oleh berita tentang kematian Puteri Diana, isteri kepada Putera Charles, dalam suatu kemalangan yang ngeri bersama lelaki yang dikatakan kekasihnya. Kejutan yang Amelie terima ketika itu menyebabkan dia telah menjatuhkan bebola gelas sehingga bebola tersebut mengetuk mozek di dinding bilik airnya yang longgar menyebabkan ia menunjukkan satu ruang yang menempatkan kotak yang menyimpan memori seorang lelaki yang pernah tinggal di kediamannya sebelum Amelie berpindah ke situ. Di sini, bermulalah kehidupan Amelie yang ingin membahagiakan dan membantu orang lain yang berada di sekitarnya. Amelie telah disedarkan oleh Encik Dufayel yang sentiasa berbual dengan Amelie mengenai lukisannya yang sama dan ia sudah dilukis secara berulang-ulang selama 20 tahun tetapi Encik Dufayel tidak dapat mengecam adakah ia gambar seorang wanita yang sedang meminum air. Mereka berdua berbincang mengenai gambar tersebut dan Encik Dufayel telah dapat mengesan bahawa Amelie telah mengambarkan kesepiannya ke dalam gambar wanita yang sedang meminum air yang dilukis oleh Encik Dufayel. Lantas, Encik Dufayel telah memberi dorongan kepada Amelie untuk mencari kebahagiaan bagi mengatasi rasa kesepian tersebut dengan menyuruh Amelie mencari lelaki yang boleh dikatakan pelik. Lelaki tersebut bernama Nino Quincampoix. Dia gemar mengumpul gambar terbuang, milik orang yang tidak dikenali yang telah dibuang di tong sampah berhampiran dengan gerai gambar pasport. Amelie tidak mempunyai keberanian untuk meluahkan perasaannya kepada Nino hingga dia telah tersalah sangka dengan rakan sekerjanya yang keluar dengan Nino. Rakan sekerjanya itu sebenarnya membuat temujanji untuk berjumpa dengan Nino kerana ingin membantu Amelie untuk memberitahu Nino bahawa Amelie sebenarnya mencintai Nino tetapi dia malu untuk meluahkan isi hatinya. Akhirnya, selepas insiden tersebut, Amelie termakan juga dengan pujukan Encik Dufayel yang menyuruhnya untuk memberanikan diri bagi mendekati Nino agar Nino tidak terlepas ke tangan wanita lain.



Ulasan Mengenai Filem Ini :

Filem Amelie ini mempunyai unsur-unsur yang unik dari segi penceritaannya. Jalan ceritanya amat berbeza dengan filem-filem negara lain terutamanya filem Malaysia,bahkan ia sangat jauh berbeza. Garapan cerita ini, pada pendapat saya, amat menepati apa yang dipanggil sebagai 'linear story-telling'. 'Linear story-telling' bermaksud sesebuah filem itu mempunyai jalan cerita yang agak lancar di mana pada permulaan cerita ini, pengarah telah menerangkan watak utama bagi filem ini, iaitu mengenai kehidupan Amelie dan keluarganya. Ia diterangkan dengan begitu terperinci bagi setiap watak. Peringkat awal ini dikenali dengan 'act one'. Seterusnya, di peringkat pertengahan, iaitu 'act two', pengarah telah mengembangkan konflik yang berlaku di dalam cerita ini, mengenai kesungguhan Amelie yang ingin membantu dan membahagiakan orang yang berada di sekelilingnya sehingga dia terlupa bahawa dirinya juga memerlukan kebahagiaan kerana  selama ini dia telah membesar tanpa kasih-sayang yang cukup daripada kedua orang tuanya. Dirinya sendiri amat kesepian sehingga dia kerap berimaginasi perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti berapa orang yang sedang mencapai orgasma pada waktu yang sama. Amelie dapat menyelesaikan konflik yang berlaku di sekitarnya, contohnya dengan membantu  Raymond Bretodeau bertemu dengan anak dan cucunya yang tidak pernah dia temui melalui pemulangan kotak memori yang Amelie jumpai di dalam bilik airnya. Dia juga membantu Lucien, pembantu kedai di kedai runcit milik Encik Collignon yang sering dibuli oleh tuannya yang sombong dengan memasang perangkap hingga Encik Collignon menjadi orang yang tidak sombong dan bongkak lagi. Amelie boleh menyelesaiakan masalah orang lain tetapi masalah yang dihadapi oleh dirinya, iaitu kesepian masih belum dapat dirungkai. Amelie telah jatuh cinta dengan Nino tetapi dia sangat malu untuk meluahkan rasa hatinya kepada lelaki itu walaupun sudah berulang kali dia mempunyai peluang. Ini adalah konflik di dalam cerita ini, bagaimana Amelie ingin mencapai kebahagiaan dalam hidupnya melalui percintaan yang ingin dia miliki dengan Nino. 'Act Three' pula merupakan babak penyelesaian atau keseimpulan bagi sesebuah jalan cerita. Pengarah telah menunjukkan bahawa Amelie dapat meraih cinta Nino setelah dia termakan pujukan dan dorongan Encik Dufayel, yang menyuruhnya memberanikan diri dengan mengaku kepada Nino yang dia sememangnya mencintai Nino dan dialah peminat misteri Nino.
Walaupun filem ini mempunyai unsur 'linear story-telling' tetapi penceritaannya dari satu babak ke babak yang lain sangat mengelirukan. Sebagai penonton, saya tidak dapat memahami apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh pengarah melalui pertukaran babak yang sangat drastik perubahannya. Contohnya, dari babak Amelie mencuri patung 'Garden Gnome' milik bapanya terus ke babak lain yang tiada  kaitan dengan mengapa Amelie berbuat demikian. Pencerita (narrator) bagi filem ini juga melontarkan dialognya dengan pantas sehingga penonton yang tidak menguasai bahasa Perancis menjadi terpinga-pinga untuk memahami apa yang diperkatakan di dalam dialog tersebut. Sekiranya filem itu disediakan sari kata, penonton tidak dapat membacanya kerana ia terlalu laju bertukar seiring dengan lontaran dialog oleh pencerita. Penonton juga mudah hilang fokus untuk menghayati jalan cerita sebenar kerana perlu melihat dan memerhatikan sari kata supaya mereka dapat memahami dialog yang ingin disampaikan.
Selain itu, cerita ini amat banyak mengandungi unsur-unsur seks yang melampau. Sememangnya, orang Perancis telah menganggap bahawa seks di dalam filem dianggap seperti suatu norma dan kebiasaan pada mereka tetapi tidak di negara lain terutamanya negara-negara Islam. Unsur seks ini amat kurang disenangi bagi mereka yang beragama Islam kerana mereka harus menjaga pandangan mereka daripada menonton, mendengar, melakukan perkara-perkara yang dihalang oleh syara' contohnya perlakuan seks atau pornografi. Cerita ini amat banyak menunjukkan hubungan seks secara terang-terangan. Adakah perlu melambangkan cinta dengan perlakuan seks? Seks tidak boleh disinonimkan dengan cinta. Cinta mempunyai banyak perspektif,contohnya kepada keluarga dan negara. Cinta juga merupakan suatu perasaan yang indah tetapi ia tidak seharusnya diakhiri atau dimulakan dengan seks. Walaupun manusia sering berimaginasi, tidak semestinya mereka perlu membayangkan tentang seks dan bagaimana ia dilakukan seperti yang dilakukan oleh watak Amelie. Watak ini boleh sahaja untuk berimaginasi mengenai perkara yang hebat seperti bagaimana menjadi wanita pertama negara atau membina istana untuk dirinya sendiri tetapi mengapa dia harus membayangkan berapa ramai orang yang mencapai orgasma secara serentak? Ini sangat tidak produktif bagi mereka yang hanya memikirkan seks untuk memajukan diri mereka. Penonton juga boleh merasakan yang akan ada perlakuan seks dari lakonan yang disampaikan contohnya yang berlaku antara rakan sekerja Amelie dengan lelaki yang telah lama diminatinya.
Cerita ini juga memberi nilai pengajaran yang penting kepada kita bahawa institusi kekeluargaan sangat penting dalam kehidupan seharian kita. Ibu bapa perlu menjaga dan mendidik anak-anak mereka sebaik mungkin walaupun mereka sibuk dengan tugasan harian. Ibu bapa juga tidak boleh berpandangan negatif terhadap anak dan sekiranya anak mereka mempunyai apa-apa masalah terutamanya masalah kesihatan, mereka perlu berjumpa dengan doktor pakar. Walaupun ayah Amelie seorang doktor, dia tidak mengetahui sebenarnya Amelie tidak mempunyai sebarang sakit jantung cuma jantungnya berdegup tidak normal akibat rasa gemuruh. Perkara ini merupakan penyebab kepada kurangnya komunikasi antara Amelie dengan dunia luar yang mengakibatkannya sering berimaginasi perkara yang tidak sepatutnya. Tetapi imaginasinya boleh digunakan untuk menghasilkan sesuatu yang tidak terjangkau oleh pemikiran orang lain seperti yang Amelie lakukan untuk membalas serta menyedarkan perbuatan tidak baik dan sombong Encik Collignon terhadap Lucien. Imaginasi menjadi sesuatu yang hebat sekiranya digunakan untuk perkara yang baik dan betul bukan untuk memusnahkan orang lain.
Filem ini juga memulakan penceritaannya dengan hanya menggunakan visual tanpa suara selama beberapa minit yang dapat menggambarkan jalan cerita filem ini. Visual di permulaan filem ini sangat bagus kerana ia menunjukkan manusia ini boleh berfikir dan membuat sesuatu yang biasa dengan cara yang berbeza dan tidak terjangkau oleh akal pemikiran yang biasa. Ini simbolik kepada watak utama, iaitu Amelie yang gemar berimaginasi dan menjadikan imaginasi itu sesuatu benda yang boleh dicapai sekiranya kita mempunyai kesungguhan untuk melaksanakannya.

Sekian, terima kasih.


 

No comments:

Post a Comment