Monday 15 April 2013

Amélie : Film Review


Filem Le Fabuleux Destin D'Amelie Poulain atau ringkasnya Amélie adalah sebuah hasil seni Jean-Pierre Juenet yang bergenrekan campuran antara komedi, cinta, dan drama. Permulaan filem ini, penonton diperkenalkan dengan watak seorang kanak-kanak yang bernama Amelie Poulain yang mempunyai daya imaginasi yang tinggi dan agak unik hasil jagaan kedua ibubapanya dimana dia hanya dibesarkan dalam persekitaran yang terhad kerana dia tidak dihantar ke sekolah.

Penonton kemudian diperkenalkan pula dengan watak Amelie Poulain yang telah meningkat dewasa dan bekerja sebagai seorang pelayan di sebuah kafe di Paris. Walaupun tinggal berjauhan dari bapanya, Amelie masih lagi hidup keseorangan tanpa rakan dan peneman. Hanya televisyen dan imaginasinya sahaja yang sering menjadi teman hidupnya. Sehinggalah pada suatu hari dunia dikejutkan dengan pemergian Puteri Diana dan pada masa yang sama juga, Amelie terjumpa sebuah kotak lama tinggalan penyewa apartment terdahulu. Ketika itu, dia bertekad untuk memulangkan semula kotak tersebut kepada pemiliknya kerana dia mula sedar bahawa hidup ini pendek dan manusia perlu menggunakan peluang yang ada disekeliling untuk mengisi hidup mereka dengan perkara yang lebih bermakna.

Sejak itu, hidupnya yang dahulu sunyi menjadi lebih bermakna dan menjadikannya lebih berani. Amelie mula bergaul dan berkomunikasi dengan orang disekelilingnya dan mula bercita-cita untuk membuat mereka gembira. Amelie membantu orang disekelilingnya untuk mencari kehidupan yang lebih bahagia sehinggalah dia mula terfikir akan kehidupannya sendiri yang sunyi. Amelie mula membuka hati untuk bercinta ketika mula-mula terjumpa dengan seorang watak lelaki bernama Nino di 'photobooth'. Disinilah bermulanya plot  percintaan  yang dialami oleh Amelie dalam mengisi hidupnya yang sunyi.

Menonton filem Amelie adalah merupakan satu pengalaman yang menarik dan menyeronokkan. Jarang kita dapat lihat filem seperti ini di mana gaya penceritaannya yang unik, kreatif, dengan watak-watak yang boleh dianggap agak gila, dan imaginasi yang seperti tidak realistik dan diselitkan pula dengan elemen lucu, nakal dan dramatis tetapi masih rasional dan boleh diterima logik akal. Tambahan pula penggunaan warna, persekitaran dan landskap yang subur mewujudkan lagi suasana yang bersesuaian dengan plot penceritaan. Pengarah juga menggunakan teknik kamera dan komputer yang berjaya menghasilkan imej yang mampu menghidupkan lagi fantasi dan imaginasi Amelie.

Keseluruhannya, filem ini seronok dan menarik untuk ditonton kerana setiap adegan, peristiwa dan plot penceritaannya digabungkan dengan baik dan pindahan dari satu plot ke plot yang lain disempurnakan dengan baik sekali. Filem ini berjaya menonjolkan watak Amelie yang mempunyai karakter yang agak unik dan pelik tetapi masih mempunyai nilai-nilai positif yang boleh diambil.



Oleh : Nur Rabiatul Adawiyah binti Sahibullah ( 1SHAC )



No comments:

Post a Comment