Monday 15 April 2013

Film Review: Amelie

AMILIE

Le Fabuleux Destin d'Amelie Poulain atau dikenali sebagai Amelie merupakan sebuah filem Francis di bawah arahan Jean-Pierre Jeunet hasil karya beliau sendiri serta Guillaume Laurant. Filem ini mengisahkan seorang gadis yang bernama Amelie yang dimainkan oleh Audrey tautou adalah merupakan seorang kanak-kanak yang mempunyai daya imaginasi yang tinggi serta kreatif dalam melalui zaman kanak-kanaknya. Ini disebabkan oleh ayahnya yang merupakan seorang doktor telah mengesan diri Amelie mempunyai masalah jantung yang menyebabkan ibu bapanya tidak membenarkan dia untuk bercampur dengan rakan sebayanya. Namun, cerita pada zaman kanak-kanaknya menyayat hati dengan kematian ibunya. Ibunya merupakan seorang guru, mati ketika keluar dari gereja apabila ibunya dihempap oleh seseorang yang cuba bunuh diri dengan terjun dari tingkat atas bangunan gereja yang dihadiri oleh Amelie dan ibunya. Semenjak itu, Amelie dibesarkan oleh ayahnya sendirian sehinggalah dia meningkat dewasa.

Setelah meningkat dewasa, Amelie mula berpindah ke sebuah bandar di Paris dan bekerja disebuah cafe iaitu Montmarte Cafe sebagai pelayan. Amelie juga menetap secara sendirian disebuah apartment tanpa ditemani oleh sesiapa. Pada suatu hari, Amelie dikejutkan dengan berita kematian Puteri Diana dan dalam pada itu, gelas yang dipegangnya terjatuh dan secara tidak sengaja, gelas yang jatuh itu telah menemukan Amelie dengan sebuah lubang yang tersimpan sebuah kotak yang mengandungi barang-barang mainan seorang kanak-kanak. Amelie telah nekad dan berjanji pada dirinya sendiri untuk memulangkan semula kotak tersebut kepada tuannya serta membuatkan pemilik kotak tersebut berasa gembira. Amelie mula mencari alamat pemilik kotak tersebut sehinggalah suatu hari dia berjaya juga menemui pemilik kotak tersebut dan memulangkannya tanpa pemilik tersebut mengenali Amelie. Idea yang ditunjukkan Amelie adalah satu idea yang kreatif dan tidak dijangka. Sejak daripada peristiwa itu, Amelie berasa satu kepuasan dengan menggembirakan hati orang lantas dia merangka idea untuk membuat sesuatu dalam kehidupannya dengan menggembirakan hati orang yang berada disekelilingnya. Dalam pada menggembirakan hati orang, Amelie lupa akan kebahagiannya sendiri. Amelie mula berfikir dan memberi ruang pada dirinya untuk mencari kebahagiaan dan cinta dengan caranya yang tersendiri dan akhirnya Amelie bertemu dengan cinta yang dicarinya. 


Pada pandangan saya, filem ini merupakan sebuah filem yang santai, kreatif pada gaya penulisan serta pembawakan watak-watak yang menarik. Walaupun jalan ceritanya mempunyai unsur-unsur yang tidak sepatutnya, namun ia bukanlah sesuatu yang pelik bagi budaya mereka. Itu adalah cara mereka dalam meluahkan rasa cinta berbeza dengan budaya kita di Malaysia. Selain daripada itu, filem ini lebih fokus kepada pembawakan watak Amelie yang pelik dan berimaginasi tinggi namun mempunyai hati yang baik serta cuba untuk membahagiakan orang-orang yang berada disekelilinya membuatkan saya atau sesiapa sahaja perlu mengambil contoh agar tidak meletakkan diri kita sebagai seorang yang pentingkan diri sendiri. Keadaaan disekeliling kita menuntut kita agar berbuat baik dengan semua orang tidak kira siapa pun mereka dan tidak perlu pilih kasih dalam memberi atau membantu orang lain kerana kita ini semua hanyalah sama sahaja. Dalam pada itu, keikhlasan perlulah ada dalam diri setiap manusia dalam membantu orang dan juga melaksanakan pekerjaan. Seperti yang ditunjukkan oleh Amelie, keikhlasan yang lahir dalam dirinya membuatkan setiap yang dirangka menjadikan ia mudah dan sekaligus ia memberikan satu impak yang positif dalam diri Amelie. Bagi saya, filem ini adalah satu filem yang bagus kerana penonton tidak melihat dengan hanya menganggap sebagai hiburan tetapi meninggalkan nilai-nilai baik dan positif yang penonton harus berfikir dan ambil ia sebagai satu pembelajaran dalam kehidupan.

No comments:

Post a Comment