Monday 15 April 2013

AMELIE (Maznah binti Osman)



Nama Filem: Amelie (fRANCE)
Pelakon: Audrey Tautou (Amelie), Mathieu Kassovitz(Nino), Serge Merlin(Dufayel), Lorella Cravotta (Amindine), Raphael (Rufus) and others
Arahan: Jean-Pierre Jeunet


Sinopsis

Amelie Poulain adalah watak utama di dalam filem Perancis ini. Amelie dibesarkan oleh sepasang ibu bapa yang agak aneh kerana mereka percaya bahawa Amelie telah disahkan menghidap masalah jantung. Disebabkan salah faham itu, maka Amelie tidak dibenarkan untuk bermain dan berkawan dengan kanak-kanak sebayanya. Untuk mengubati kesunyian hidupnya, Amelie telah menjadi seorang gadis yang aktif berimaginasi dan mempunyai daya yang sangat kuat dalam menggambarkan perkara-perkara fantasi yang di luar kotak pemikiran manusia normal. Setelah kematian ibu dan juga bapanya yang telah menyisihkan diri daripada masyarakat, Amelie telah bekerja di sebuah kafe dan menjadi seorang pelayan di sana. Amelie mencari kepuasan di dalam kebahagiaan dalam kesederhanaan dan membiarkan fikirannya terus berimaginasi.

Kematian Puteri Diana, Permaisuri Wales, mengejutkan Amelie. Gelas yang dipegangnya terjatuh dan menyebabkan satu jubin lantai bilik airnya pecah. Amelie telah menemukan sebuah kota besi lama yang disembunyikan oelh seorang budak lelaki yang tinggal di apartmennya berpuluh-puluh tahun sebelum ini. Amelie berazam untuk mengembalikan kotak besi lama itu kepada tuannya dan berjanji untuk memberikan kebahagiaan kepada orang lain dan menolong orang lain semampu mungkin jika tuan punya kotak besi lama itu gembira setelah berjumpa semula dengan kotak besi lama tersebut.


Bermula dengan pertemuan dengan Mrs. Wallace, Mr. Collignon,Mrs Collignon dan yang akhir sekali, Amelie bertemu dengan jirannya yang terasing daripada masyarakat, Raymond Dufayel, pelukis yang melukis kembali lukisan bernama Luncheon of the Boating Party. Raymond masih mengingati budak lelaki itu tetapi dengan menyebut nama yang berbeza tetapi hampir sama bunyinya. "Bretodeau". Amelie cepat-cepat menjejaki lelaki itu dan menyerahkan kotak lama itu kepadanya secara rahsia. Setelah menemukan kotak lama yang penuh memori itu, Bretodeau berazam untuk berbaik-baik semula dengan anak perempuannya yang aneh dan juga cucunya yang tidak pernah dijumpai lagi,

Maka dengan respon positif daripada Bretodeau, Amelie meneruskan hasratnya untuk memberi kebahagiaan dan menolong orang lain dengan semampu mungkin.


Maka Amelie telah berubah menjadi pembawa bahagia dan ringan tulang membantu orang lain. Antaranya, Amelie telah mengiringi seorang lelaki buta ke stesen Metro. Di sepanjang perjalanan, Amelie telah menggambarkan keadaan sekeliling kepada lelaki buta itu sehinggakan lelaki buta itu dapat menggambarkan keadaan sekelilingnya. Amelie juga telah memujuk bapanya untuk meneruskan impian ayahnya iaitu melancong ke seluruh dunia.Bagaimana? Amelie telah mencuri "Garden Gnome" dan telah meminta seorang kawannya yangberkeja sebagai atendan penerbangan untuk bergambar dengan "garden gnome" di setiap negara yang dilawatinya.

Sementara Amelie gigih menyebarkan bahagia dan menolong orang lain, Mr Dufayel sedang memerhatikannya. Mr Dufayel bermula dengan berbual dengan Amelie berkenaan lukisan yang dilukisnya secra berulang sebanyak 20 kali. Lukisan seorang gadis sedang minum segelas air. Mereka berbincang tentang maksud tersurat di dalam gambar tersebut. Amelie telah menunjukkan kesunyiaanya di dalam perbincangan tersebut, Mr Dufayel menggunakan gambar wanita sedang minum air itu sebagai satu galakan untuk Amelie mencari daya penarik dalam dirinya. untuk memikat seorang lelaki muda yang berperangai aneh;  suka mengumpul gambar-gambar orang yang tidak dikenalinya daripada kedai-kedai  gambar passport.

Amelie mula menyedari yang dia telah jatuh cinta dengan lelaki muda itu pada pertemuan kedua mereka. Lelaki itu telah secara tidak sengaja tercicir album gambar. Amelie menemuinya dan akhirnya telah berjaya mengetahui nama lelaki itu, Nino Quincampoix. Dia bermain permainan "kucing dan tikus" dengan Mr. Nino di sekitar Paris.sebelum memulangkan album gambar itu tanpa ingin mendedahkan idenititinya. Setelah menyusun pertemuan antara dia dan Mr Nino, Amelie berasa sangat malu dan enggan mendedahkan identitinya. DIsebabkan salah faham, Amelie telah menyangka yang Mr Nino telah berpaling kepada rakan sekerjanya. Mr Dufayel telah memberikan kata-kata motivasi kepada Amelie untuk memberanikan diri berterus terang dengan Nino, dan hasilnya, Amelie dan Nino telah memulakan hubungan percintaan mereka dengan satu malam yang romantik.

Ulasan

Pada permulaannya , saya berasa bimbang adakah saya mempu untuk memahami jalan cerita Amelie ini kerana ini adalah kali pertama saya menonton filem Perancis. Tetapi dengan teknik penceritaan yang sangat baik daripada pengarah filem ini,  Jean-Pierre Jeunet sehingga saya tertanya-tanya adegan apa selepas adegan ini? Ia telah menimbulkan satu perasaan ingin tahu yang kuat hingga mendorong saya untuk menghabiskan menonton filem ini. 

Dari sudut pandang yang lain,Jean-Pierre Jeunet juga telah mempersembahkan sifat-sifat "kemanusiaan" di dalam lakonan beberapa watak di dalam filem ini. Pengarah memberi gambaran contohnya gambaran seseorang yang sedang gembira. Contohnya, gembira mendengar bunyi bekas makanan kucing bergerak-gerak di jubin ketika kucing makan, 

Dalam kebanyakan watak di dalam filem ini, saya paling menyukai watak Amelie. Saya merasakan watak Amelie telah berjaya dimainkan dengan baik sekali oleh Audrey Tautou. Dari awal penceritaan tanpa suara, penonton diperkenalkan latar belakang Amelie, sejak Amelie kecil lagi. Permulaan yang unik ini, sangat mengesankan saya untuk terus menonton Amelie hingga habis. Pembinaan watak Amelie yang pada mulanya agak "mengerikan" dengan sikap-sikap pelik ibu bapanya telah semakin berkembang secara positif apabila Amelie bersungguh-sungguh mencari pemilik kotak besi lama yang sangat bersifat sentimental, dan seterusnya berkembang dengan sifat-sifat baik Amelie yang suka membantu dan membahagiakan orang di sekelilingnya.



Konflik di dalam filem ini telah diceritakan dengan begitu baik sekali. Konflik berubah apabila Amelie mula ingin terus menyebarkan kebahagiaan  kepada orang-orang di sekelilingnya, dan membantu orang lain sehabis boleh apabila Amelie telah berjaya menggembirakan hati pemilikan kotak besi lama tersebut. Setiap tindakan Amelie yang telah menggembirakan dan membantu orang lain telah diceritakan dengan baik sekali dan teratur dan ia dapat memberi kefahaman  kepada penonton tentang perkembangan watak Amelie yang ingin membuat perubahan ke arah yang lebih baik lagi. Kekosongan dan kesunyian hidup Amelie juga dirungkai dengan baik seklai melalui pemerhatian watak Mr. Dufayel yang walaupun pelik tetapi dapat memahami keadaan Amelie.
Mesej yang ingin disampaikan oleh pengarah menerusi filem ini menurut saya adalah kepentingan untuk membahagiakan orang lain dan memberi manfaat kepada manusia lain akan memberikan kegembiraan kepada kita juga. Pada masa yang sama, kita juga perlu mencari perkara yang boleh membahagiakan kita. Daya iamginasi yang tinggi juga adalah satu elemen penting yang merupakan satu nilai tambah kepada seseorang kerana walaupun ia mungkin agak susah untuk dipraktikkan pada masa sekarang tetapi ia mungkin dapat dilakukan dengan adanya teknologi-teknologi terbaru yang ditemui hari demi hari. 

Walau bagaimanapun, adegan seksual yang terdapat di dalam filem ini, adalah sesuatu yang perlu ditapis jika ingin ditayangkan di dalam pasaran Malaysia. Hal ini kerana sensitiviti rakyat Malaysia yang majoriti adalah beragama Islam adalah sangat tinggi. Adegan seksual telah menjadi seperti satu elemen "wajib" yang perlu ada di dalam sesebuah filem antarabangsa untuk membantu melariskan lagi sesebuah filem antarabangsa. 

Pendek kata, saya amat menyukai pengalaman menonton filem Amelie ini. 



No comments:

Post a Comment